huhuhu...KOMBI!!!!
pergh! aku minat giler kat kombi volkwagen nie.. hasrat di hati nak beli satu..tapi duit lak xde,huhuhu... tengah kopak giler... fikir camne nak dapatkan duet untuk beli kombi kesayangan...herm..... ops.. lupe lak nak cter pasal kelab volkwagen klasik Selangor...
Warna-warni Kelab Volkswagen Klasik Selangor
Suatu ketika dahulu, kewujudan kenderaan volkswagen menjadi satu fenomena yang melanda seluruh dunia. Terkenal dengan keunikan reka bentuknya yang memukau setiap mata memandang, volkswagen hadir mengubah dunia yang pada ketika itu para pengeluar lain berlumba-lumba membina kenderaan yang lebih selesa dan moden.
Sejak ia direka sekitar tahun 30’an, volkswagen berkembang sebagai sebuah kenderaan yang pada asalnya direka bagi kegunaan lasak tentera Jerman untuk berperang menjadi sebuah kenderaan keluarga yang sangat ekonomik.
Volkswagen pada asalnya dikeluarkan di Wolfsburg, Jerman yang mana dikuasakan dengan enjin yang sangat berbeza daripada kenderaan-kenderaan lain ketika itu iaitu tidak dijana dengan air (air cooled) sebagai penyejuk enjin. Mekanisme inilah yang membuatkan volkswagen menjadi kegilaan semua orang pada waktu itu.
Volkswagen menempa nama sebagai salah sebuah pengeluar terunggul dunia dengan memecahkan rekod pengeluarannya dan tidak hairanlah banyak kilang-kilang pemasangan volkswagen didirikan di luar daripada Jerman seperti di Mexico, Brazil, Australia, Indonesia dan banyak negara-negara lain lagi.
Di negara kita Malaysia, volkswagen mula-mula digunakan sekitar awal 50’an. Melalui tontonan filem-filem lama seperti filem Allahyarham P. Ramlee, terdapat banyak kenderaan volkswagen berada di jalan raya ketika itu.
Sehingga kini, dianggarkan terdapat lebih kurang 5,000 buah kenderaan volkswagen masih berada di jalan raya di negara ini. Volkswagen pada masa ini boleh diklasifikasikan sebagai kenderaan klasik sesungguhnya mempunyai nilai sentimental kepada pemiliknya. Rata-rata pemiliknya mempunyai sejarah tersendiri terutama memori suka-duka yang segar dalam ingatan bersama kenderaan tersebut. Malahan, sayangnya pemilik pada volkswagen mereka, pemiliknya sanggup berhabisan ribuan ringgit untuk memberi sentuhan yang menarik dan mendapatkan alat-alat ganti yang semakin sukar didapati semata-mata untuk menjadikan kereta volkswagen mereka selesa dipandu di atas jalan raya.
Memiliki volkswagen menjadi kebanggaan pemiliknya dan walaupun telah dimakan usia, ia tetap asli dan tiada kereta sepopularnya hingga tercatat sebagai kereta paling laris jualannya di dunia dengan reka bentuk yang tidak berubah selama 57 tahun.
Selain daripada enjinnya yang tidak dijana dengan bantuan air, enjin volkswagen berada pada kedudukan belakang kenderaan sebagaimana kenderaan moden lain seperti porsche dan ferrari. Reka bentuk volkswagen terutamanya volkswagen jenis beetle mempunyai tarikan tersendiri kerana ianya berbentuk seakan bulat dan comel apabila dipandang. Ia juga kadang-kala dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti kereta katak, kodok, kura-kura, kumbang dan herbie iaitu yang diadaptasi dari filem Herbie fully loaded lakonan aktres kesukaan remaja masa kini Lindsay Lohan. Ciri-ciri inilah yang menjadikan volkswagen kekal diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Kenderaan volkswagen sungguhpun telah dimamah usia tetap mempunyai nilai yang tinggi di pasaran. Nilai belian sesebuah kenderaan volkswagen biasanya bergantung pada keadaan kenderaan itu sendiri dan sejauhmana originaliti Volkswagen itu dipelihara. Di negara kita, sesebuah volkswagen boleh menjangkau sehingga RM 50,000 sebuah dan boleh juga didapati semurah RM 4,000 sebuah bergantung kepada tahun pembuatannya dan keadaan volkswagen itu sendiri.
Bukan sahaja di negara ini, di luar negara seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat, volkswagen lama (klasik) mempunyai nilai jualan yang tinggi di pasaran. Dianggarkan sesebuah volkswagen seperti di United Kingdom nilainya boleh didapati dengan harga £2,000.00 sehinggalah £20,000.00. satu harga yang mahal dibandingkan dengan harga kereta-kereta moden ketika ini di sana. Walaupun kenderaan volkswagen jenis beetle telah diperbaharui bentuknya supaya lebih moden, volkswagen beetle model lama tetap mendapat tempat di hati peminatnya.
Di negara ini, memiliki volkswagen menjadi satu keistimewaan kepada pemiliknya. Kadangkala pemilik volkswagen akan digelar dengan nama tambahan volkswagen dibelakang nama asalnya sebagai satu identiti untuk dikenali dan penduduk berdekatan di sekitar tempat tinggal pemilik volkswagen akan mudah mengecam seseorang melalui kenderaan volkswagen yang dimiliki.
Memiliki volkswagen bukan sahaja boleh dijadikan satu hobi yang menarik, malahan ia mampu menambah ramai kenalan untuk bertukar-tukar pandangan dan maklumat. Pemilik seawal usia 18 tahun hinggalah ada yang menjangkau 75 tahun tidak menjadikan umur sebagai halangan untuk mereka berkecimpung di dalam hobi memiliki kenderaan istimewa ini.
Atas inisiatif yang dibuat oleh beberapa peminat fanatik kenderaan ini terutama di Lembah Kelang, satu jalinan kerjasama diwujudkan untuk melahirkan satu wadah penyedia maklumat yang dinamakan sebagai Kelab Volkswagen Klasik Selangor (KVKS). Kelab ini yang telah aktif sejak lebih setahun yang lalu telah menjalankan pelbagai kegiatan-kegiatan riadah dan aktiviti kebajikan untuk ahli-ahli yang bernaung di bawah kelab ini.
Seiring dengan perkembangan ICT masa kini, KVKS menjadikan internet sebagai mekanisme berkesan untuk menyampaikan informasi dan perkembangan terkini kelab ini. Bermula dengan hanya lebih kurang 10-15 ahli, ia semakin meningkat dari hari ke hari yang mana sehingga kini telahpun melebihi jumlah 160 orang. Peningkatan jumlah ahli menunjukkan tanda positif bahawa hobi memiliki volkswagen adalah suatu hobi yang amat menarik.
Usaha yang berterusan oleh orang-orang kuat KVKS dilihat telah menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama bukan sahaja sekadar mempunyai hobi meminati kenderaan volkswagen, tetapi menjadikan hobi ini sesuatu yang lebih berfaedah dengan adanya aktiviti-aktiviti yang mengeratkan hubungan silaturrahim sesama pemilik volkswagen.
Malahan, dengan wujudnya komuniti KVKS ini, jaringan para pemilik volkswagen semakin mudah untuk berkongsi pengetahuan, mendapatkan alat ganti, mencari bengkel-bengkel volkswagen yang sesuai dan menarik minat ahli-ahli baru serta mereka yang ingin tahu tentang keistimewaan kenderaan volkswagen. Bahkan, bukan itu sahaja, laman web KVKS terus dilawati bukan sahaja oleh pemilik di sekitar negeri Selangor, tetapi disokong oleh semua peminat volkswagen tanahair.
“Tahun 2009 adalah tahun yang cemerlang kepada KVKS” ujar En. Indera Shahril Mohd Shahid, Setiausaha Kelab Volkswagen Klasik Selangor ketika ditemui semasa program Konvoi Volkswagen ke Negeri Perak pada 18-20 Disember 2009. Beliau menambah, “Segala macam aktiviti telah dilaksanakan dengan jayanya sepanjang 2009”.
Bermula dengan wawancara secara langsung pengenalan KVKS bersama sebuah stesen televisyen swasta terunggul negara ini, sehinggalah aktiviti terakhir atau penutup 2009 iaitu Konvoi Volkswagen ke Negeri Perak pada 18-20 Disember 2009, KVKS menyajikan aktiviti menarik yang membuatkan para pemilik volkswagen terus menggilai kenderaan ini.
Setiap bulan, KVKS mengadakan perjumpaan dalam pelbagai bentuk seperti sesi TT, perjumpaan malam minggu, menonton persembahan live di restoran salah seorang ahli KVKS, jemputan kenduri dan keraian di rumah ahli-ahli KVKS.
Selain daripada perjumpaan, KVKS juga mengadakan aktiviti-aktiviti rekreasi seperti konvoi berkelah di Pantai Cherating, Pahang, Kem Nurnikman di Sg. Klah, Sungkai, Perak, Hutan Lipur di Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Sg. Tekala di Semenyih, Selangor, Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan, Bukit Lagong, Selayang, Selangor, Pantai Remis, Manjung, Perak dan banyak lokasi menarik di seluruh Malaysia.
Sebagai menutup tirai 2009 baru-baru ini, Kelab Volkswagen Melaka dengan kerjasama Kelab Volkswagen Klasik Selangor, Kumpulan Volkswagen Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Kumpulan Volkswagen Muar dan Johor Bahru telah sama-sama berganding bahu menjayakan Konvoi Volkswagen ke Negeri Perak pada 18-20 Disember yang lalu.
Bertempat di Lenggong dan Kuala Kangsar Perak, sebanyak 38 buah volkswagen dengan kapasiti peserta seramai 70 orang telah menyertai konvoi ini. Daripada 38 buah volkswagen tersebut, sebanyak 27 buah adalah dari model beetle sementara 11 buah adalah dari model kombi.
Daripada jumlah di atas, 7 buah volkswagen adalah daripada Kelab Volkswagen Melaka dan Kumpulan Volkswagen Muar dan Johor Bahru, 21 buah volkswagen daripada Kelab Volkswagen Klasik Selangor, 7 buah volkswagen daripada Kumpulan Volkswagen Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan 3 buah volkswagen daripada rakan-rakan KVKS dari Alor Setar, Kedah.
Pekan kecil Lenggong yang selama ini sepi, tiba-tiba dikerumuni oleh “kumbang-kumbang” yang berkeliaran di sana-sini. Sepanjang 3 hari tersebut, mereka menjadikan Rumah Rehat Lenggong sebagai lokasi penginapan mereka.
Sepanjang berada di sana, para peserta telah menjalani pelbagai aktiviti seperti majlis ramah mesra bersama peserta-peserta konvoi, perkelahan di Lata Kekabu, gotong royong membersih Masjid Changkat Berangan, jemputan menghadiri undangan majlis perkahwinan anak Adun Kota Tampan YB Dato' Haji Shaarani Bin Mohamad, menaiki bot di jeti Seberang Pipit ke Kg. Durau untuk majlis ramah mesra bersama penduduk kampung, majlis BBQ, sesi titipan pengalaman dan cabutan bertuah, jualan alat ganti dan cenderamata volkswagen, lawatan ke Muzium Arkeologi, Kota Tampan dan lawatan ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
Salah seorang peserta wanita yang ditemui berkata, “konvoi ini benar-benar memberikan pengalaman manis kepada saya”, ujar Cik Siti Nur Azilah, seorang pelajar berumur 22 tahun, peserta tunggal wanita yang memiliki volkswagen model beetle tahun 1974. “Walaupun kereta saya menghadapi masalah pendawaian elektrik semasa dalam perjalanan ke gerai minuman sekitar Lenggong, tapi masalah dapat diatasi kerana kami membawa bersama mekanik volkswagen yang sentiasa mengikuti konvoi ini.”
Kegembiraan jelas terbayang di wajah semua peserta konvoi ini. Walaupun mengharungi perjalanan jauh memandu volkswagen yang berbeza dari kenderaan moden lain, ia memberikan kepuasan tidak terhingga kepada pemiliknya.
Dalam pada peserta-peserta konvoi ini menjalani aktiviti mereka, mereka juga tidak ketinggalan melakukan kebajikan dengan menyumbang sejumlah wang kepada Masjid Changkat Berangan dan penduduk di Kg. Durau sebagai derma masjid dan penghargaan kepada penduduk di atas layanan yang diberikan.
Kegilaan kepada volkswagen jelas dapat dilihat menerusi konvoi ini apabila masing-masing sentiasa akan membersihkan volkswagen mereka setiap kali sebelum sebarang aktiviti dijalankan. Mereka juga tanpa jemu-jemu berbual hal-hal yang berkaitan dengan kenderaan ini tidak mengira masa.
“Konvoi ini adalah konvoi terbaik yang pernah dijalankan setakat ini”, kata En. Mazlan atau lebih dikenali sebagai Abang Apex di kalangan peserta-peserta konvoi. Beliau tiba lewat dalam konvoi ini kerana anaknya mengalami kemalangan jatuh motorsikal sehari sebelum konvoi ini berlangsung. Disebabkan tidak mahu menghampakan keinginan anaknya yang lain yang ingin berkonvoi volkswagen, maka En. Mazlan memandu beetlenya bersendirian bersama keluarganya dari Klang ke Lenggong.
Sesungguhnya hobi memiliki volkswagen menyatukan pelbagai lapisan masyarakat. Tidak kira muda, tua, lelaki, perempuan, pelajar atau bekerja, mereka semua bersatu dengan semangat muhibbah di atas hobi yang bernama volkswagen.
Tambah En. Indera Shahril lagi, “Insya Allah, selain daripada aktiviti konvoi, tahun 2010 akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti baru yang lain dari yang lain daripada tahun 2009 antaranya yang sedang dirancang iaitu Drag VW Malaysia 2010 dan Konvoi Muhibbah KVKS ke Indonesia.” Ujarnya lagi, “Saya amat mengharapkan sokongan padu daripada semua ahli-ahli KVKS dan rakan-rakan volkswagen dari negeri-negeri lain bagi menjayakan hasrat ini.”
Bagi mengetahui lebih lanjut maklumat berkenaan Kelab Volkswagen Klasik Selangor, bolehlah melayari laman web kelab ini di www.vwclubselangor.webs.com atau taip Kelab Volkswagen Klasik Selangor untuk menyertai mereka di facebook. - Bersama Memupuk Muhibbah -
1 comment:
Salam nak tanya kalau awak tahu sesiapa yg nak jual bangkai atau body kosong combi saya berminat.. email dkt saya nursyaz26@gmail.com
Post a Comment